PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengenal pasti tanah milik kerajaan yang terbiar untuk diusahakan dengan projek pertanian.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ketika ini, terdapat banyak tanah kerajaan yang terbiar dan tidak dibangunkan, selain tiada perancangan khusus untuk membangunkan tanah itu dalam masa beberapa tahun akan datang.

Katanya, perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad dalam perbincangan strategik antara kementeriannya dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

“Tanah ini akan diteliti oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk kita lihat bagaimana kita boleh bangunkan dan memberi peluang kepada petani serta pekebun bagi menjalankan pertanian berskala kecil, sekali gus meningkatkan produktiviti dan hasil pertanian.

“Kita tidak dimaklumkan mengenai keluasan tanah itu tapi menurut maklumat awal, terdapat banyak tanah kerajaan yang tidak dibangunkan selama ini dan tiada rancangan pembangunan pada masa akan datang.

“Justeru, lebih baik kita bangunkan tanah ini untuk pertanian dan kementerian dengan kepakarannya akan menentukan kesuburan tanah ini untuk industri tertentu bagi memajukan sektor pertanian,” katanya pada sidang media.

Mohamed Azmin berkata, beliau dan Salahuddin juga turut diberi taklimat mengenai imbangan dagangan dalam sektor pertanian yang membimbangkan, yang menuntut kerajaan untuk menyelesaikannya.

“Sebagai contoh, eksport makanan meningkat 2.2 peratus setahun bagi 2017 dan 2018, tetapi pada masa yang sama, import makanan turut meningkat pada kadar purata 3.5 peratus setahun, sekali gus menyebabkan defisit,” katanya.

Sementara itu, Salahuddin berkata, kementerian akan memberi tumpuan kepada tanaman yang mendatangkan pendapatan dalam masa yang singkat di bawah Program Hasil Baharu dengan peruntukan RM1 bilion.

“Antara tanaman yang boleh diusahakan ialah kunyit, halia dan serai serta beberapa jenis sayuran nilai tinggi yang boleh dilaksanakan secara sistematik.

“Antara tanaman yang boleh diusahakan ialah kunyit, halia dan serai serta beberapa jenis sayuran nilai tinggi yang boleh dilaksanakan secara sistematik.

Beliau berkata, kerjasama antara kementeriannya dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi langkah pertama dalam membina sinergi antara kementerian agar tidak berlaku pertindihan fungsi dan pembaziran sumber.

Beliau berkata, kerjasama antara kementeriannya dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi langkah pertama dalam membina sinergi antara kementerian agar tidak berlaku pertindihan fungsi dan pembaziran sumber.

“Perbincangan hari ini juga meneroka potensi teknologi baharu era Revolusi Industri 4.0 seperti kecerdasan buatan (AI), analisis Big Data, dron dan Internet of Things (loT) dalam meningkatkan produktiviti sektor pertanian,” katanya.